28 Februari 2013

PROGRAM 3R DI FLAT TAMAN SETIA JAYA

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI FLAT TAMAN SETIA JAYA






Antara pengisian program 3R Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah pada setiap minggu ialah aktiviti kutipan barangan kitar semula di Komuniti Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar. Pada 28 Februari 2013, aktiviti berkenaan dijalankan pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada 1.00 petang. Program yang dijalankan secara konsep Drive-Thru ini adalah satu program komuniti yang bertujuan membersihkan kawasan sekitar taman tersebut. Terdapat banyak barangan kitar semula yang berjaya dikumpul daripada dijadikan sampah iaitu sebanyak 1.6 tan bersamaan dengan RM 700.12 yang telah diagih-agihkan kepada setiap penduduk flat yang hadir memberikan barangan kitar semula milik mereka. Program ini yang bermotifkan aktiviti hijau, sedikit sebanyak dapat membersihkan kawasan sekitar flat dan mengeratkan hubungan sesama warga penduduk tersebut serta warga PPSPPA Kedah.

27 Februari 2013

PROGRAM 3R DI SIK

BERSUKAN SAMBIL MENGITAR SEMULA !!!

Pada 27 Februari 2013, pihak warga kerja PPSPPA Kedah telah menjalankan aktiviti riadah berbentuk sukan Badminton bertempat di Dewan PDRM Sik, Kedah. Aktiviti sukan yang berlangsung pada pukul 8.00 sehingga 12.00 malam itu disertai oleh hampir 20 orang warga kerja yang dianjurkan sendiri oleh mereka. Antara hadiah kejohanan badminton tersebut ialah piala pusingan Pegawai 3R Negeri Kedah. Kejohanan Badminton peringkat dalaman PPSPPA Kedah ini adalah merupakan pertandingan badminton pertama kali diadakan pada tahun ini dan merupakan siri ke-2 untuk pertandingan piala pusingan tersebut selepas siri pertama di Alor Setar pada bulan November tahun lepas.










Konsep permainan adalah sama seperti siri pertama iaitu 7 regu daripada PPSPPA Selatan yang dianggotai oleh gabungan warga kerja PPSPPA dari Cawangan Sik, Kulim dan Sungai Petani melawan 7 regu daripada PPSPPA Utara yang dianggotai oleh gabungan warga kerja PPSPPA dari Cawangan Alor Setar, Guar Chempedak dan Kubang Pasu. Tujuan utama aktiviti ini dijalankan adalah untuk mengeratkan hubungan antara warga kerja PPSPPA Kedah disamping menggalakkan budaya sukan di kalangan mereka. Selain itu, amalan kitar semula diterapkan dalam diri setiap pemain dengan menggalakkan mereka mengutip, mengumpul dan mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula. Antara sisa pepejal yang boleh dikitar semula yang ditemui semasa perlawanan tersebut ialah botol-botol plastik, kotak-kotak terpakai dan tin-tin aluminium. Keputusan perlawanan adalah seri yang mana pusingan pertama, PPSPPA Kedah Selatan telah menang 4-3 manakala pusingan kedua mencatatkan kemenangan 4-3 juga buat PPSPPA Kedah Utara. Hal ini kerana perlawanan tidak dapat diteruskan oleh sebab masa telah pon lewat dan ramai pemain yang datang dari jauh terpaksa pulang. Walaubagaimanapun, selaku tuan rumah, piala pusingan diberikan kepada pihak PPSPPA Kedah Selatan.



PROGRAM 3R DI WISMA DARUL AMAN

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI WISMA DARUL AMAN

Seperti biasa pada 27 Februari 2013, pihak pengurusan Bahagian Kerajaan Tempatan, Wisma Darul Aman telah mengadakan program 3R iaitu aktiviti kutipan barangan kitar semula. Dengan kerjasama vendor berhampiran, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah menguruskan aktiviti berkenaan.





Selepas berakhir aktiviti tersebut, sebanyak 300 kg barangan kitar semula telah dikumpul oleh warga kerja Wisma Darul Aman bersamaan dengan RM84.00 telah diperoleh daripada pihak vendor.





26 Februari 2013

PROGRAM 3R DI SK PUTAT

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI SK PUTAT 





 

Buat pertama kalinya, SK Putat telah mengadakan program 3R pada tahun ini mulai 26 Februari 2013 untuk sama-sama membersihkan kawasan sekolah berkenaan. Pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah menguruskan program berkenaan dan menggunakan vendor berhampiran. Antara barangan kitar semula yang telah diperoleh ialah kertas, botol plastik, tin aluminium, tin-tin susu dan besi. Kesemua barangan tersebut telah diasingkan mengikut jenis, dan ditimbang sebelum dimasukkan ke dalam lori vendor. Pihak vendor telah memberikan hasil jualan sebanyak RM56.80 berdasarkan kuantiti berat barangan tersebut iaitu sebanyak 175.70 kg.

PROGRAM 3R DI KILANG FUJI ELEKTRIK, KULIM

AKTIVITI PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI KILANG FUJI ELEKTRIK, KULIM

Pada 26 Februari 2013, pasukan Composting Advisor daripada kalangan warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim telah membuat satu aktiviti pemantauan terhadap Compost Chang yang diterima oleh pihak pengurusan kilang daripada pihak PPSPPA pada 16 Januari 2013. Tujuan pemberian Compost Chang tersebut adalah sebagai cenderahati daripada pihak PPSPPA kepada pihak kilang Fuji Elektrik berkenaan atas jemputan mereka terhadap pihak PPSPPA untuk mengadakan pameran tentang cara rawatan sisa organik. Oleh sebab itu, pemantauan berjadual perlu dijalankan di kilang tersebut pada setiap bulan bagi  memastikan pengamalan ilmu kompos oleh pada pekerja kilang berkenaan.

Warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim yang terdiri daripada En Mohd Syihan Bin Mustafa, En Norazlan Bin Hashim dan En Mohd Amiruddin Bin Tajul Borhan telah mengunjungi pihak pengurusan kilang tersebut bagi memantau perkembangan aktiviti kompos untuk dilaporkan kepada Bahagian Kitar Semula Dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Alor Setar.




Amalan kompos di kilang terbabit dikendalikan sendiri oleh pengawal keselamatan kilang berkenaan dan didapati beliau telah memasukkan sisa makanan di dalam Compost Chang tersebut pada setiap hari. Pihak warga kerja PPSPPA juga mendapati, banyak sisa makanan yang belum terurai dan menjadi nutrien. Walaubagaimanapun, kelihatan kelompok-kelompok lapisan keputihan atau mikroorganisma yang mengelilingi sisa makanan yang telah dimasukkan. Pihak PPSPPA telah memberikan sedikit tunjuk ajar tentang cara menjaga dan menguruskan Compost Chang tersebut.

25 Februari 2013

PROGRAM 3R DI SEKITAR ALOR SETAR

PEMBERIAN SIJIL PENYERTAAN DAN CENDERAHATI SEMPENA KUTIPAN TERTINGGI 2012



Oleh kerana penglibatan yang aktif secara individu dan kutipan yang tertinggi barangan kitar semula sepanjang program 3R yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA Kedah, para pelajar sekolah menengah, rendah dan tadika terpilih telah menerima sijil penyertaan dan cenderahati berupa wang tunai daripada pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah. Aktiviti pemberian sijil dan cenderahati pada 25 Februari 2013 itu, melibatkan 4 orang murid tadika dan 3 orang pelajar sekolah menengah daripada 30 orang. Antara murid sekolah yang bertuah untuk mendapat penghargaan ini ialah daripada SMK Seri Ampang, Sekolah Tabika Perpaduan Alor Malai, dan Sekolah Tabika KEMAS Seberang Kota, Tmn Kota Nelayan. Pemberian sijil dan cenderahati ini akan menggalakkan lagi pihak pengurusan sekolah, murid-murid dan masyarakat luar untuk mengamalkan gaya hidup kitar semula pada masa akan datang. Aktiviti pemberian sijil dan cenderahati ini akan disambung lagi pada tarikh yang lain untuk 22 orang murid dan pelajar lagi memandangkan aktiviti tersebut melibatkan tempoh masa yang agak terhad.

PROGRAM 3R DI SMK MERGONG

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI SMK MERGONG



 

Pihak pengurusan Pendidikan Khas, SMK Mergong telah menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula pada 25 Februari 2013 untuk membersihkan kawasan sekolah sambil menjana tabung dana pendidikan khas sekolah berkenaan. Program 3R yang dijalankan bersama-sama pihak PPSPPA Kedah yang diwakili oleh En Mohd Azrul Bin Azmi daripada Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam serta pihak vendor yang berhampiran, telah melibatkan hampir 20 orang pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan. Di samping itu, pihak warga kerja sokongan sekolah tersebut juga turut terlibat menyumbangkan barangan kitar semula milik mereka.



Sebagai hasilnya, sebanyak 300 kg lebih barangan kitar semula telah dikumpul, diasing dan ditimbangkan bersamaan dengan hampir RM 100.00 telah diberikan kepada mereka khususnya warga pendidikan khas sekolah berkenaan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam program 3R yang telah dijalankan.

22 Februari 2013

PROGRAM 3R DI SERDANG

AKTIVITI PAMERAN DI SERDANG, BANDAR BAHARU





Pada 22 Februari 2013, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah serta anggota Pejabat Cawangan PPSPPA Kulim, telah dijemput oleh pihak PBT iaitu Majlis Daerah Bandar Baharu untuk menjalankan pameran sempena majlis Pelepasan Le Tour De Langkawi. Aktiviti yang dijalankan gilang-gemilang itu turut disertai oleh beberapa Jabatan Kerajaan yang lain termasuk pihak agensi swasta dan juga NGO. Pihak PPSPPA telah menjalankan pameran berkenaan dengan pengenalan PPSPPA, kempen kitar semula dan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura.






21 Februari 2013

PROGRAM 3R DI FLAT TAMAN SETIA JAYA

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI FLAT TAMAN SETIA JAYA

Pada 21 Februari 2013, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah dengan kerjasama vendor berhampiran telah mengadakan aktiviti kutipan barangan kitar semula di komuniti Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar. Aktiviti ini dijalankan pada setiap hari Khamis, jam 9.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah hari secara konsep Drive-Thru.




Pelbagai karenah dan gelagat para penduduk setempat yang melucukan semasa aktiviti dijalankan. Dengan keriuhan komuniti flat taman berkenaan memeriahkan lagi suasana program 3R yang dijalankan. Apabila berakhir aktiviti yang dijalankan, sebanyak 100 kg lebih telah diperoleh dan dijual kepada pihak vendor.








Lebih memeranjatkan dan memberangsangkan pihak penganjur adalah, keunikan cara pengumpulan barangan kitar semula yang ditunjukkan oleh sebilangan warga penduduk flat taman tersebut. Kebanyakkan mereka menggunakan basikal yang diubahsuai menjadi beca yang berperanan mengangkut barangan kitar semula ke kaunter kami.