27 Jun 2013

PEMANTAUAN AMALAN PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI SMK JABI

AKTIVITI PEMANTAUAN AMALAN RAWATAN SISA ORGANIK MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI SMK JABI






SMK Jabi merupakan sebuah sekolah baru yang telah mengadakan program 3R iaitu aktiviti kutipan barangan kitar semula dan juga aktiviti rawatan sisa organik (sisa makanan) menggunakan kaedah pengkomposan Takakura sepanjang tahun 2013. Hasilnya, pada 27 Jun 2013, satu aktiviti pemantauan amalan tersebut telah dipantau oleh pihak PPSPPA Kedah untuk melihat perkembangan amalan berkenaan di kalangan warga sekolah. Selepas pemerhatian dijalankan, didapati seed compost yang dijaga oleh para pelajar agak kering. Oleh sebab itu, pihak PPSPPA Kedah telah menasihati mereka supaya memasukkan sedikit air paip jika seed compost didapati kering. Jika ianya kering, mikroorganisma di dalamnya tidak dapat hidup dengan sempurna. Walaubagaimanapun, sisa makanan yang dijana daripada kantin sekolah dimasukkan pada setiap hari ke dalam set Compost Chang berkenaan. Pemantauan berikutnya akan bersambung pada bulan hadapan.

26 Jun 2013

PROGRAM 3R DI DEWAN BADMINTON KBA DAN KG PUMPONG

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI DEWAN BADMINTON KBA DAN KOMUNITI KAMPUNG PUMPONG

Pada 26 Jun 2013, satu aktiviti kutipan barangan kitar semula telah diadakan di sekitar Jalan Suka Menanti iaitu di Dewan Badminton KBA. Dewan Badminton KBA merupakan komuniti yang agak aktif menjalankan program 3R bersama-sama pihak PPSPPA Kedah kerana mempunyai barangan lusuh yang kebanyakannya botol-botol plastik. Sepanjang hari mengadakan aktiviti kutipan barangan lusuh tersebut, sebanyak 310 kg barangan kitar semula telah dikumpul oleh staf-staf dewan tersebut dan berjaya ditimbang oleh pihak vendor.
Pihak pengurusan dan pekerja pembersihan dewan tersebut telah diagih-agihkan hasil jualan barangan kitar semula yang telah mereka sumbangkan iaitu jumlah keseluruhan RM168.90.






Selepas aktiviti tersebut, pihak PPSPPA Kedah dan juga vendor tersebut beralih ke kawasan perkampungan Kg. Pumpong untuk menjalankan program 3R yang sama di komuniti berkenaan. Terdapat beberapa barangan kitar semula yang telah dijual atau disumbangkan oleh penduduk setempat seperti basikal lama, lampu minyak tanah yang tidak digunakan, besi-besi buruk, botol-botol plastik, dan sebagainya. Hasil kutipan mendapati sebanyak 78.2 kg bersamaan dengan RM46.25.




25 Jun 2013

PROGRAM 3R DI POKOK SENA

AKTIVITI PAMERAN DI PEJABAT DAERAH DAN TANAH POKOK SENA











Pihak PPSPPA Kedah dijemput oleh pihak pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena untuk mengadakan pameran berkaitan dengan PPSPPA, Kempen 3R dan Kitar Semula, pameran Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura dan juga membuka kaunter aduan SISA pada 25 Jun 2013. Antara tetamu VIP yang hadir ialah Ketua Pengarah Biro Aduan Awam yang berkunjung ke booth pameran PPSPPA. Acara pameran yang meriah ini berlangsung selama seharian di lokasi berkenaan mendapat perhatian daripada warga kerja pejabat kerajaan tersebut termasuklah penduduk setempat. Pameran ini sedikit sebanyak memberi pendedahan mengenai PPSPPA Kedah dan juga perkhidmatan yang disediakan selain ilmu pengetahun mengenai kempen 3R dan rawatan sisa organik dengan lebih lanjut. Selain itu, aduan sampah daripada penduduk dapat disampaikan dengan lebih dekat di kaunter aduan awam yang disediakan di booth PPSPPA.

PROGRAM 3R DI WISMA DARUL AMAN

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI WISMA DARUL AMAN

Wisma Darul Aman sekali lagi menjalankan program 3R bersama-sama dengan PPSPPA Kedah. Hampir setiap bulan pihak pengurusan Wisma Darul Aman menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula bagi menyokong kempen 3R yang diperjuangkan oleh pihak PPSPPA Kedah. Warga kerja Wisma Darul Aman khususnya staf-staf sokongan dan juga pekerja pembersihan kompleks pejabat kerajaan berkenaan masing-masing telah menyimpan barangan kitar semula milik mereka di tangga-tangga, pejabat mereka, stor pembersihan dan ruang penyimpanan sebelum hari kutipan barangan kitar semula. Akhirnya pada 25 Jun 2013 aktiviti kutipan barangan kitar semula telah diadakan di perkarangan kompleks pejabat kerajaan. Semenjak awal tahun 2012, aktiviti kutipan barangan kitar semula di kompleks tersebut secara puratanya tidak begitu banyak. Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, aktiviti pembersihan kawasan tersebut semakin kerap dijalankan menyebabkan kuantiti barangan kitar semula yang dijumpai di sekitar pejabat-pejabat di kompleks berkenaan semakin banyak.








Oleh sebab itu, pada 25 Jun 2013 pihak PPSPPA Kedah dan pihak vendor telah membantu warga kerja Wisma Darul Aman dalam aktiviti pengumpulan barangan lusuh seperti kertas, botol-botol plastik, tin-tin aluminium dan tin-tin susu bagi membersihkan kawasan kompleks Wisma Darul Aman. Sepanjang hari itu, sebanyak  1787 kg barangan kitar semula telah diasingkan mengikut kategori dan jenis manakala sejumlah RM577.72 telah diagihkan kepada warga kerja yang terlibat. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu membersihkan kawasan sekitar Wisma Darul Aman dan menyokong kempen 3R ini. Insyaallah, pada bulan depan, jadual kutipan barangan kitar semula di situ akan dijalankan selama 2 hari.

20 Jun 2013

PROGRAM 3R DI SMK HUTAN KAMPUNG

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI SMK HUTAN KAMPUNG

Guru Penyelaras program 3R SMK Hutan Kampung telah menelefon pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah untuk mengadakan program 3R pada 20 Jun 2013. Oleh yang demikian, aktiviti kutipan barangan kitar semula pun diadakan di perkarangan sekolah tersebut. Walaupun barangan kitar semula tidak berapa banyak, namun pihak PPSPPA yang dibantu oleh pihak vendor terdekat berusaha sedaya upaya untuk membersihkan kawasan sekolah berkaitan. Tambahan pula, kerjasama daripada para pelajar serta guru-guru menyebabkan sebanyak 374 kg barangan kitar semula telahpun dikumpul dan ditimbang dengan sempurna. Hasil kutipan barangan kitar semula pada hari tersebut ialah sejumlah RM132.18.




19 Jun 2013

PROGRAM 3R DI PUSAT PENDIDIKAN AL-AZHAR

AKTIVITI CERAMAH PROGRAM BANK KITAR SEMULA DI PUSAT PENDIDIKAN AL-AZHAR












Program 3R pertama kali diadakan di Pusat Pendidikan Al-Azhar, Jitra yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA Kedah pada 19 Jun 2013. Pusat Pendidikan Al-Azhar ini adalah kombinasi SMK Al-Azhar, SK Al-Azhar, dan Tadika Pra-Tahfiz Al-Azhar. Pada hari itu, hampir kesemua pelajar pusat pendidikan tersebut turun ke masjid sekolah berkenaan. Sebagai permulaan, antara pengisian program ialah aktiviti ceramah bagi Program Bank Kitar Semula yang disampaikan oleh pihak PPSPPA Kedah di Masjid tersebut. Para pelajar diberi pendedahan mengenai perkhidmatan PPSPPA, kempen 3R anjuran PPSPPA, Program Bank Kitar Semula di sekolah-sekolah dan jenis-jenis serta harga barangan kitar semula yang sering dipungut oleh pihak vendor terdekat. Ternyata, warga pusat pendidikan tersebut begitu teruja dengan ceramah yang diberikan dan bersemangat untuk memulakan aktiviti pengumpulan dan pengasingan barangan kitar semula di sekolah mereka. Insyaallah, aktiviti kutipan barangan kitar semula akan diadakan di pusat pendidikan tersebut tidak lama lagi.


18 Jun 2013

PROGRAM 3R DI SK PUTAT

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI SK PUTAT


Pada 18 Jun 2013, satu aktiviti kutipan barangan kitar semula telah diadakan di SK Putat, Kodiang. Aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah ini dibantu oleh pihak vendor yang berhampiran.









Program 3R di sekolah ini merupakan aktiviti ketiga kali dijalankan selepas bulan Februari dan Mac 2013. Hampir kesemua murid sekolah yang terdiri daripada kanak-kanak telah membanjiri kawasan perhimpunan sekolah bersama dengan barangan kitar semula masing-masing bagi menyokong kempen 3R tersebut. Pihak vendor telah menimbang setiap barangan yang dibawa oleh warga sekolah berkenaan dan menyatakan bahawa sebanyak 334.5 kg barangan kitar semula yang berjaya ditimbang. Sejumlah RM116.78 telah diberikan kepada guru penyelaras program untuk diberikan kepada warga sekolah yang turut serta dalam aktiviti berkaitan.

15 Jun 2013

PROGRAM 3R DI STADIUM DARUL AMAN

PROGRAM LARIAN JOM! KITAR SEMULA 2013 DI STADIUM DARUL AMAN !!!!!







Akhirnya, program yang telah ditunggu-tunggu telahpun tiba. Acara Larian Jom! Kitar Semula 2013 telah diadakan secara besar-besaran bertempat di Perkarangan Stadium Darul Aman. Acara yang dijalankan oleh pihak PPSPPA Kedah juga diadakan di kebanyakan negeri di seluruh Semenanjung Malaysia yang juga dianjurkan oleh pihak PPSPPA. Seramai lebih 3000 peserta yang telahpun mendaftar dalam acara yang gilang-gemilang ini dan setiap penyertaan adalah percuma. Peserta Orang Kelebihan Upaya (OKU) juga tidak ketinggalan menyertai aktiviti tersebut. Hadiah yang ditawarkan adalah berupa barangan elektrik dan hadiah utama merupakan sijil simpanan premium.







Acara tahunan ini telah dirasmikan oleh ADUN Kuala Nerang, YB Badrul Hisham Hashim. Antara pengisian program selain daripada aktiviti larian ialah aktiviti pameran dan cabutan bertuah. Pihak PPSPPA Kedah tidak ketinggalan mengadakan pameran kepada para pengunjung. Antara pameran yang dijalankan ialah pameran PPSPPA, Kempen 3R dan Rawatan Sisa Makanan Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Sepanjang hari aktiviti ini dijalankan, sebanyak 1 tan lebih barangan kitar semula yang diperoleh daripada peserta larian dan sejumlah RM 700.00 lebih hasil jualan barangan kitar semula tersebut. Kebanyakan barangan kitar semula yang diterima daripada peserta dan pengunjung ialah seperti botol-botol plastik, tetrapak dan surat khabar. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program ini.