30 Januari 2013

PROGRAM 3R DI SMK HUTAN KAMPUNG

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI SMK HUTAN KAMPUNG

Guru SMK Hutan Kampung, Cikgu Zuliza sememangnya seorang guru yang sangat aktif dalam menjalankan program 3R di sekolah ini iaitu aktiviti kutipan barangan kitar semula. Pendekatan beliau yang mementingkan kebersihan sekolah telah membawa PPSPPA Kedah untuk bekerjasama menganjurkan aktiviti kutipan barangan kitar semula yang pertama di awal tahun ini. Oleh itu, pada 30 Januari 2013, aktiviti tersebut berlangsung dengan jayanya.





SMK Hutan Kampung yang memilik stor penyimpanan barang, membantu dari segi pusat pengumpulan barangan kitar semula yang dibawa oleh para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan pada setiap hari. Hal ini berikutan dengan ketiadaan tong kitar semula untuk menyimpan barangan tersebut. 





Sebagai hasil aktiviti tersebut, sebanyak 800 kg barangan kitar semula yang berjaya dikutip, dikumpul dan ditimbang oleh pihak vendor berhampiran dan sejumlah RM 200.00 lebih hasil jualan diagih-agihkan kepada warga sekolah yang terlibat.

28 Januari 2013

PROGRAM 3R DI WISMA DARUL AMAN

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI WISMA DARUL AMAN






Seperti biasa, pihak pengurusan Wisma Darul Aman dengan kerjasama staf syarikat pembersihan PPK telah mengadakan program 3R iaitu aktiviti kutipan barangan kitar semula pada 28 Januari 2013. Setelah selesai aktiviti berkenaan, didapati sebanyak 1.2 tan lebih barangan kitar semula yang terkumpul dan sebanyak hampir RM400.00 telah diberikan kepada staf-staf yang terlibat. Tahniah, diucapkan kepada semua yang bekerjasama menjayakan program berkenaan dan menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan amalan kitar semula.

22 Januari 2013

PROGRAM 3R DI TABIKA BESTARI AL-UMAIRAH

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI TABIKA BESTARI AL-UMAIRAH, ALOR SETAR

Tabika Bestari Al-Umairah, Alor Setar merupakan tabika pertama yang menyertai program Bank Kitar Semula di Tabika pada tahun 2013. Tabika yang merangkumi lebih kurang 30 orang murid ini telah memohon secara rasmi berkenaan dengan penganjuran program tersebut secara bulanan untuk memastikan kebersihan dan keceriaan kawasan tabika. Di samping itu, program berkenaan juga diharap dapat mendidik kanak-kanak untuk membersihkan alam sekitar selain menjana pendapatan. 




Dengan inisiatif pihak PPSPPA Kedah dan juga guru sekolah tabika tersebut, pada 22 Januari 2013, satu aktiviti kutipan barangan kitar semula diadakan di sekolah berkenaan. Hasil kerjasama guru-guru dan murid-murid menyebabkan sebanyak 29 kg lebih bersamaan dengan RM8.00 lebih telah diberikan kepada warga yang terlibat.




21 Januari 2013

PROGRAM 3R DI SEKITAR ALOR SETAR DAN JITRA

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI 3 BUAH SEKOLAH DI SEKITAR ALOR SETAR DAN JITRA

Pada 21 Januari 2013, sebanyak 3 buah sekolah telah menyertai program 3R anjuran PPSPPA Kedah iaitu SMK Agama Kedah dan SK Taman Uda, di Alor Setar serta SK Padang Pekan di Jitra. Penglibatan kesemua sekolah ini membuktikan sokongan pihak pengurusan sekolah termasuklah para guru dan pelajar terhadap kempen kitar semula yang dianjurkan pihak PPSPPA Kedah. Selain itu, aktiviti kutipan barangan kitar semula ini juga mendapat perhatian umum seperti pengusaha kantin, pengawal keselamatan, guru besar, pengetua sekolah dan orang awam.

KUTIPAN DI SMK AGAMA KEDAH (435 KG = RM 126.15)






 KUTIPAN DI SK TAMAN UDA (31 KG = RM 7.75)




 KUTIPAN DI SK  PADANG PEKAN (219 KG = RM 55.00)




 

16 Januari 2013

PROGRAM 3R DI KILANG FUJI ELEKTRIK KULIM

AKTIVITI PAMERAN DI KILANG FUJI ELEKTRIK, KULIM HI-TECH






Pihak PPSPPA Negeri Kedah telah dijemput oleh pihak pengurusan Kilang Fuji Elektrik, Kulim Hi-Tech untuk menjalankan pameran sempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar bagi komuniti kilang berkenaan pada 16 Januari 2013. Pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah dan juga anggota penguatkuasa daripada Pejabat Cawangan Kulim turut serta dalam menjayakan pameran tersebut. Antara pameran yang dijalankan ialah pameran berkenaan dengan PPSPPA, kempen 3R dan program kitar semula serta pameran pembuatan baja organik dengan menggunakan teknik rawatan sisa makanan kaedah Takakura. Sepanjang pameran dijalankan, booth pameran PPSPPA mendapat kunjungan yang sangat ramai daripada warga kerja kilang tersebut yang tidak putus-putus bertanya mengenai baja kompos dan talian Aduan Sisa.Program menderma darah juga disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Cawangan Sungai Petani. Booth pameran yang lain ialah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan lain-lain. Sebagai cenderahati, pihak PPSPPA telah menghadiahkan sebuah set bakul Compost Chang kepada pihak pengurusan kilang berkenaan untuk melaksanakan penghasilan baja organik daripada sisa makanan yang terjana di kafeteria milik mereka. Progres penghasilan baja organik tersebut akan dipantau oleh pihak PPSPPA Cawangan Kulim dari masa ke semasa bagi memastikan amalan penghasilan baja kompos tersebut sentiasa dilaksanakan.


14 Januari 2013

PROGRAM 3R DI MBAS

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR (MBAS)

Sepanjang bulan Januari, warga kerja Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) amat aktif dalam menjayakan program kitar semula anjuran pihak PPSPPA Negeri Kedah berikutan dengan kempen 5S yang telah dijalankan oleh mereka sempena awal tahun perkhidmatan. Untuk memastikan pejabat mereka bersih dan amalan 5S dipatuhi, segala dokumen yang telah dirincihkan dibawa ke Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Negeri Kedah untuk dijual dan dikitar semula.









Sebagai meningkatkan semangat mereka untuk mengitar semula, sejumlah RM261.25 telah diberikan kepada warga kerja MBAS yang terlibat berikutan dengan hasil jualan sebanyak hampir 690 kg barangan kitar semula yang telah dijual oleh mereka sepanjang bulan Januari 2013.

12 Januari 2013

PROGRAM 3R DI SEMELING

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI KAMPUNG MASJID BARU, SEMELING, KEDAH

Komuniti Kampung Masjid Baru, Semeling Kedah juga berminat untuk menjalankan program 3R anjuran pihak PPSPPA Negeri Kedah. Penduduk kampung berkenaan memohon kepada pihak PPSPPA Kedah untuk membantu menjual barangan kitar semula milik mereka untuk membersihkan kawasan rumah mereka. Komuniti kampung yang terletak di daerah Sungai Petani ini menjalankan aktiviti tersebut pada 12 Januari 2013.



Aktiviti berkenaan yang dikelolakan oleh En Mohd Azrul Bin Azmi daripada Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Negeri Kedah dibantu oleh pihak vendor berhampiran. Sebanyak 85 kg lebih barangan kitar semula yang berjaya ditimbang dan dijual kepada pihak vendor dan sejumlah RM28.00 telah diberikan kepada penduduk yang menghantar barangan tersebut.

11 Januari 2013

PROGRAM 3R DI JALAN SUKA MENANTI

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI DEWAN KBA, ALOR SETAR



Komuniti sukan badminton di Dewan KBA, Jalan Suka Menanti, Alor Setar amat berminat untuk menjalankan program 3R bersama pihak PPSPPA Negeri Kedah yang mana, atlet-atlet di pusat sukan berkenaan banyak mengumpul botol-botol plastik, shuttle dan kotak-kotak terpakai bagi menjana wang yuran permainan badminton mereka. Oleh yang demikian, pada 11 Januari 2013, aktiviti kutipan barangan kitar semula telah diadakan bersama-sama pihak vendor yang dilantik.



Kerjasama yang erat juga diberikan oleh staf-staf sokongan dan pekerja pembersihan di pusat sukan berkenaan. Hasilnya, sebanyak 116 kg bersamaan dengan RM40.00 lebih telah diberikan kepada warga pusat sukan yang terlibat dalam program berkenaan.