30 Julai 2013

PROGRAM 3R DI PEJABAT CAWANGAN PPSPPA GUAR CHEMPEDAK

AKTIVITI 3R OLEH PEJABAT CAWANGAN PPSPPA GUAR CHEMPEDAK


Warga kerja PPSPPA Cawangan Guar Chempedak telah menjalankan program 3R di komuniti bawah seliaan pada bulan Julai 2013. Program 3R yang dimaksudkan ialah aktiviti kutipan barangan kitar semula di 2 buah tadika oleh warga kerja PPSPPA Cawangan Guar Chempedak. Ikuti laporan yang disediakan:

Aktiviti kutipan barangan kitar semula di sekolah Tadika Perpaduan Taman Mawar dan Taman Setia, Pendang

Salah satu program 3R ini dijalankan oleh warga kerja PPSPPA Cawangan Guar Chempedak. Aktiviti ini dijalankan pada 30 Julai 2013 di Tadika Perpaduan Taman Mawar dan Taman Setia, Pendang. Sebanyak 103.8 kg barangan kitar semula yang berjaya dikutip dan ditimbang oleh pihak vendor di tadika Taman Mawar manakala di tadika Taman Setia pula sebanyak 115.4 kg. Sejumlah RM21.30 telah diperolehi kanak-kanak tadika Taman Mawar manakala tadika Taman Setia adalah sejumlah RM34.90. Aktiviti ini akan dijalankan sekali lagi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Ogos nanti.








PROGRAM 3R DI KAMPUNG BERJAYA

AKTIVITI CERAMAH PROGRAM KITAR SEMULA DI KOMUNITI KG BERJAYA

Pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah menjalankan program 3R di Kampung Berjaya, Alor Setar pada 30 Julai 2013. Aktiviti berbentuk ceramah mengenai Program Kitar Semula di Komuniti itu dianjurkan oleh pihak Pertubuhan Wanita Prihatin Parlimen Alor Setar dan juga JKK Kampung Berjaya, Kampung Seberang Terus serta Kampung Teluk Yan. Ceramah ini telah dijalankan di perkarangan Masjid Kampung Berjaya dan dihadiri juga oleh pelajar-pelajar cemerlang daripada KAFA di masjid berkenaan.








29 Julai 2013

PEMANTAUAN AMALAN KOMPOS DI SMK AGAMA KEDAH DAN SM TEKNIK ALOR SETAR

AKTIVITI PEMANTAUAN AMALAN RAWATAN SISA MAKANAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI SMK AGAMA KEDAH DAN SM TEKNIK ALOR SETAR


Pada 29 Julai 2013, pihak PPSPPA Kedah diwakili oleh Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam,  telah menjalankan 1 aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa organik iaitu sisa makanan  menggunakan kaedah pengkomposan Takakura di 3 buah sekolah di sekitar Alor Setar iaitu SMK Agama Kedah, SM Teknik Alor Setar dan SMK Keat Hwa 1. Namun, pihak pengurusan amalan rawatan sisa makanan tersebut di SMK Keat Hwa 1 tiada di sekolah dan menangguhkan aktiviti pemantauan ke tarikh yang akan ditentukan kelak. Walaubagaimanapun, SMK Agama Kedah dan SM Teknik Alor Setar mempunyai masa terluang pada hari tersebut untuk menerima kunjungan lawatan daripada kami.

Pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Agama Kedah














Sepanjang pemerhatian pihak PPSPPA Kedah, didapati sebanyak 20 buah bakul set Compost Chang telah dihasilkan oleh warga sekolah berkenaan. Aktiviti kompos yang dijalankan oleh kebanyakkannya pelajar berasrama dan juga beberapa orang guru adalah secara berjadual pada hari rabu setiap minggu. Aktiviti yang dimaksudkan ialah aktiviti menghasilkan cecair penapaian, menyediakan bakul beserta alas karpet di dalamnya, campuran cecair penapaian dan juga tanah serta sekam padi dan juga aktiviti diskusi berkumpulan. Kebanyakkan set Compost Chang ini merupakan kepunyaan individu iaitu para pelajar dan guru-guru. Oleh itu, mereka akan membawa setiap set Compost Chang ini ke mana sahaja termasuk ke kediaman mereka di luar mahupun di asrama. Sisa makanan sentiasa dimasukkan ke dalam set Compost Chang pada setiap 2 hari sebanyak 2 genggam serta aktiviti menggaulkan seed compost pada setiap hari bagi memastikan campuran seed compost dan sisa makanan adalah sebati. Kebetulan, pemantauan kali ini, pihak guru penyelaras dan juga Guru Penolong Kanan sedang memasukkan sisa makanan ke dalam set Compost Chang milik pelajar dan milik mereka. 

Cuma, terdapat 2 buah bakul yang bermasalah iaitu mempunyai pembiakan ulat dan seed compost yang telah hilang. Masalah komitmen di kalangan pelajar juga mempengaruhi penyediaan seed compost dan Compost Chang itu sendiri. Alhamdulillah, masalah tersebut telah diselesaikan dengan bantuan guru penyelaras program dan juga pemantauan serta nasihat daripada pihak PPSPPA Kedah. Selain itu, ada beberapa buah set Compost Chang yang agak kering. Jadi, antara inisiatif pelajar untuk memastikan proses penguraian sisa makanan berjaya ialah dengan memastikan kandungan seed compost lembap dan tidak terlalu basah. Walaubagaimanapun, hasil pemerhatian amat memuaskan kerana hampir kesemua seed compost di dalam setiap set Compost Chang menguraikan sisa makanan yang terkandung di dalamnya. Selain itu, terdapat 5 set lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang sedang diperamkan untuk menghasilkan 5 lagi set Compost Chang yang baru yang telah disediakan sendiri oleh para pelajar.


Apa yang menarik dalam pemerhatian kali ini ialah ada 1 bakul set Compost Chang yang menghasilkan kulat atau mikroorganisma yang berlebihan dan mengeluarkan haba setiap kali proses pengacauan dijalankan. Ini memberikan keputusan yang baik dan mungkin disebabkan oleh kadar pemberian sisa makanan yang agak kerap dan mungkin kekurangan air pada seed compost. Suhu seed compost mencecah sehingga 45-47 darjah Celcius. Walaubagaimanapun, tindakan penambahbaikan akan diuruskan. Apa-apa pun tahap kesedaran pelajar sekolah berkenaan terhadap pengurangan janaan sisa makanan semakin meningkat. Sila lihat gambar di bawah:



Pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SM Teknik Alor Setar






Selepas aktiviti pemantauan di SMK Agama Kedah, pihak PPSPPA Kedah seterusnya menjalankan aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SM Teknik Alor Setar. Setakat ini, pihak pengurusan sekolah telah mengamanatkan 1 set Compost Chang yang telah diberikan oleh pihak PPSPPA Kedah kepada para pelajar subjek Sains Pertanian sekolah berkenaan. Antara sisa makanan yang dimasukkan oleh mereka ialah roti, tulang dan isi ayam, nasi, kulit pisang, kulit udang, tulang ikan dan kulit bawang. Alhamdulillah, ianya tidak pernah berulat atau menjadi tempat pembiakan cacing dan LILATI. Cuma, seperti SMK Agama Kedah, kandungan seed compost sangat kering dan perlu dimasukkan sedikit air bagi memastikan proses penguraian sisa makanan oleh mikroorganisma di dalamnya bergiat aktif. Berdasarkan pemerhatian, sebanyak lebih kurang 30% sisa makanan yang belum terurai mungkin disebabkan proses penguraian tidak terlalu aktif. Oleh yang demikian, pihak PPSPPA Kedah telah menasihatkan para pelajar yang mengendalikan set Compost Chang tersebut untuk memastikan kelembapan seed compost sentiasa optimum untuk mengaktifkan kembali proses penguraian sisa makanan.

28 Julai 2013

PROGRAM 3R DI SK SERI GEDONG

AKTIVITI PEMANTAUAN AMALAN RAWATAN SISA MAKANAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI SK SERI GEDONG 

Pada 28 Julai 2013, satu aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura telah dijalankan di SK Seri Gedong, Sungai Petani oleh pihak PPSPPA Kedah Cawangan Sungai Petani yang diwakili oleh En Muhamad Fadzley Bin Yaakop. 





Pihak PPSPPA Cawangan Sungai Petani mendapati bahawa kuantiti Seed Compost dalam set Compost Chang  semakin kurang kerana warga sekolah tersebut telahpun menggunakan Seed Compost sebagai baja organik terlebih awal. Oleh yang demikian, warga sekolah telah dinasihatkan agar lebih bersabar supaya menyediakan Seed Compost sehingga penuh bakul set Compost Chang dahulu, barulah boleh ke peringkat seterusnya iaitu menyediakan baja organik. Walaubagaimanapun, keadaan Seed Compost agak lembap dan sesuai untuk dimasukkan sisa makanan pada setiap hari untuk mengalami proses penguraian. Apa-apa pun, terima kasih diucapkan kepada warga sekolah dan PPSPPA Cawangan Sungai Petani kerana aktiviti pemantauan yang telah dijalankan. Insyaallah, aktiviti ini seterusnya adalah pada bulan hadapan untuk melihat perkembangan rawatan sisa makanan di sekolah berkenaan.

25 Julai 2013

PEMANTAUAN AKTIVITI KOMPOS DI SMK SERI AMPANG

PEMANTAUAN AMALAN RAWATAN SISA MAKANAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI SMK SERI AMPANG





Program amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura telah diperkenalkan kepada pihak SMK Seri Ampang semenjak 20 April 2013 semasa Bengkel TOT Kelab Kitar Semula / Alam Sekitar yang dihadiri oleh guru sekolah berkenaan. Sebagai tanda penghargaan, guru tersebut telah diberikan satu set Compost Chang oleh pihak PPSPPA Kedah untuk digunakan bersama-sama warga sekolah berkenaan bagi menyokong kempen mengurangkan janaan sisa makanan di dalam sekolah itu. Oleh yang demikian, selama 2 bulan aktiviti dijalankan, pada 25 Julai 2013, satu aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa makanan telah dijalankan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah di sekolah tersebut bagi melihat perkembangan amalan berkaitan.

Didapati, amalan rawatan sisa makanan tersebut telah dijalankan oleh guru sekolah berkenaan dibantu oleh sebahagian para pelajar. Pihak PPSPPA Kedah mendapati kandungan seed compost agak kering. Walaupun begitu, sisa makanan tetap dimasukkan oleh guru tersebut pada setiap 2 hari dan ianya digaulkan pada setiap hari bagi memastikan sisa makanan di dalam seed compost menjadi sebati. 

Jadi, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah telah menasihatkan supaya air dimasukkan ke dalam Compost Chang tersebut sekiranya ianya kering kerana mikroorganisma yang terkandung di dalam seed compost ini memerlukan air, udara dan sisa makanan untuk hidup dan menghasilkan nutrien dan seterusnya baja organik yang berkualiti.

 







24 Julai 2013

PEMANTAUAN PENGKOMPOSAN DI SMK KEPALA BATAS

PEMANTAUAN AMALAN RAWATAN SISA MAKANAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI SMK KEPALA BATAS

Selepas menyampaikan ceramah berkaitan amalan rawatan sisa makanan  menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Kepala Batas pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah telah menjalankan satu aktiviti pemantauan terhadap program pengkomposan yang telah dijalankan oleh sekolah tersebut pada 24 Julai 2013. Ini merupakan satu pemantauan mengejut untuk meninjau perkembangan aktiviti tersebut selepas tempoh 3 hingga 5 hari amalan tersebut dilaksanakan. Apa yang menariknya, selepas penyediaan cecair penapaian untuk 3 set Compost Chang pada 21 Julai 2013, sebanyak hampir 10 bakul set Compost Chang telah disediakan. Tambahan pula, penglibatan para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan menghasilkan sebanyak lebih kurang 6 pasang balang lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang baru diperam, untuk menyediakan 6 set Compost Chang. Pemeraman kesemua cecair penapaian dan set-set Compost Chang ini dijalankan di dalam setor sekolah yang bersuhu bilik dan kurang pencahayaan matahari. Setiap set Compost Chang ditutup rapi bagi mengelakkan kemasukkan LILATI (Lipas, Lalat dan Tikus). 







Penglibatan Tuan Pengetua sekolah berkenaan juga membuatkan semua pihak terharu dengan sokongan warga sekolah berkenaan terhadap program kompos yang telah diperkenalkan oleh pihak PPSPPA Kedah. Kandungan seed compost  di dalam salah satu set Compost Chang didapati agak lembap menunjukkan bahawa ianya baru dicampurkan dan akan diperamkan seminggu sebelum proses memasukkan sisa makanan dimulakan. Apa yang menariknya, 6 pasang balang lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang baru diperam telah disediakan dengan menggunakan kulit buah nenas dan dijadikan eksperimen terbaru untuk melihat keberkesanannya berbanding menggunakan kulit buah limau dan epal. Kulit buah nenas tersebut dicincang halus sebelum dicampurkan dengan cecair penapaian garam. Insyaallah, pemantauan pada bulan hadapan oleh pihak PPSPPA Kedah akan mendapatkan satu pemerhatian baru dan nasihat lebih lanjut akan diberikan bagi memastikan kejayaan pihak sekolah untuk menyediakan baja organik mereka.