Pada 29 Julai 2013, pihak PPSPPA Kedah diwakili oleh Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, telah menjalankan 1 aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa organik iaitu sisa makanan menggunakan kaedah pengkomposan Takakura di 3 buah sekolah di sekitar Alor Setar iaitu SMK Agama Kedah, SM Teknik Alor Setar dan SMK Keat Hwa 1. Namun, pihak pengurusan amalan rawatan sisa makanan tersebut di SMK Keat Hwa 1 tiada di sekolah dan menangguhkan aktiviti pemantauan ke tarikh yang akan ditentukan kelak. Walaubagaimanapun, SMK Agama Kedah dan SM Teknik Alor Setar mempunyai masa terluang pada hari tersebut untuk menerima kunjungan lawatan daripada kami.
Pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SMK Agama Kedah
Sepanjang pemerhatian pihak PPSPPA Kedah, didapati sebanyak 20 buah bakul set Compost Chang telah dihasilkan oleh warga sekolah berkenaan. Aktiviti kompos yang dijalankan oleh kebanyakkannya pelajar berasrama dan juga beberapa orang guru adalah secara berjadual pada hari rabu setiap minggu. Aktiviti yang dimaksudkan ialah aktiviti menghasilkan cecair penapaian, menyediakan bakul beserta alas karpet di dalamnya, campuran cecair penapaian dan juga tanah serta sekam padi dan juga aktiviti diskusi berkumpulan. Kebanyakkan set Compost Chang ini merupakan kepunyaan individu iaitu para pelajar dan guru-guru. Oleh itu, mereka akan membawa setiap set Compost Chang ini ke mana sahaja termasuk ke kediaman mereka di luar mahupun di asrama. Sisa makanan sentiasa dimasukkan ke dalam set Compost Chang pada setiap 2 hari sebanyak 2 genggam serta aktiviti menggaulkan seed compost pada setiap hari bagi memastikan campuran seed compost dan sisa makanan adalah sebati. Kebetulan, pemantauan kali ini, pihak guru penyelaras dan juga Guru Penolong Kanan sedang memasukkan sisa makanan ke dalam set Compost Chang milik pelajar dan milik mereka.
Cuma, terdapat 2 buah bakul yang bermasalah iaitu mempunyai pembiakan ulat dan seed compost yang telah hilang. Masalah komitmen di kalangan pelajar juga mempengaruhi penyediaan seed compost dan Compost Chang itu sendiri. Alhamdulillah, masalah tersebut telah diselesaikan dengan bantuan guru penyelaras program dan juga pemantauan serta nasihat daripada pihak PPSPPA Kedah. Selain itu, ada beberapa buah set Compost Chang yang agak kering. Jadi, antara inisiatif pelajar untuk memastikan proses penguraian sisa makanan berjaya ialah dengan memastikan kandungan seed compost lembap dan tidak terlalu basah. Walaubagaimanapun, hasil pemerhatian amat memuaskan kerana hampir kesemua seed compost di dalam setiap set Compost Chang menguraikan sisa makanan yang terkandung di dalamnya. Selain itu, terdapat 5 set lagi cecair penapaian garam dan gula merah yang sedang diperamkan untuk menghasilkan 5 lagi set Compost Chang yang baru yang telah disediakan sendiri oleh para pelajar.
Apa yang menarik dalam pemerhatian kali ini ialah ada 1 bakul set Compost Chang yang menghasilkan kulat atau mikroorganisma yang berlebihan dan mengeluarkan haba setiap kali proses pengacauan dijalankan. Ini memberikan keputusan yang baik dan mungkin disebabkan oleh kadar pemberian sisa makanan yang agak kerap dan mungkin kekurangan air pada seed compost. Suhu seed compost mencecah sehingga 45-47 darjah Celcius. Walaubagaimanapun, tindakan penambahbaikan akan diuruskan. Apa-apa pun tahap kesedaran pelajar sekolah berkenaan terhadap pengurangan janaan sisa makanan semakin meningkat. Sila lihat gambar di bawah:
Pemantauan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SM Teknik Alor Setar
Selepas aktiviti pemantauan di SMK Agama Kedah, pihak PPSPPA Kedah seterusnya menjalankan aktiviti pemantauan amalan rawatan sisa organik menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura di SM Teknik Alor Setar. Setakat ini, pihak pengurusan sekolah telah mengamanatkan 1 set Compost Chang yang telah diberikan oleh pihak PPSPPA Kedah kepada para pelajar subjek Sains Pertanian sekolah berkenaan. Antara sisa makanan yang dimasukkan oleh mereka ialah roti, tulang dan isi ayam, nasi, kulit pisang, kulit udang, tulang ikan dan kulit bawang. Alhamdulillah, ianya tidak pernah berulat atau menjadi tempat pembiakan cacing dan LILATI. Cuma, seperti SMK Agama Kedah, kandungan seed compost sangat kering dan perlu dimasukkan sedikit air bagi memastikan proses penguraian sisa makanan oleh mikroorganisma di dalamnya bergiat aktif. Berdasarkan pemerhatian, sebanyak lebih kurang 30% sisa makanan yang belum terurai mungkin disebabkan proses penguraian tidak terlalu aktif. Oleh yang demikian, pihak PPSPPA Kedah telah menasihatkan para pelajar yang mengendalikan set Compost Chang tersebut untuk memastikan kelembapan seed compost sentiasa optimum untuk mengaktifkan kembali proses penguraian sisa makanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan