31 Mei 2013

LARIAN JOM! KITAR SEMULA 2013 !!!!!!

BERSUKAN SAMBIL MENGITAR SEMULA !!!!!


Sempena Program Tahunan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Larian Jom! Kitar Semula 2013 akan diadakan pada 15 Jun 2013. Program ini akan memupuk semangat kesukanan disamping mengajar masyarakat untuk mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian. Program ini juga akan dicatatkan di dalam Malaysia Book Of Records. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai program larian ini di seluruh Malaysia boleh melayari laman web berikut:

http://www.ppsppa.gov.my/larian2013/

program ini juga diadakan di negeri Kedah iaitu di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar

30 Mei 2013

PROGRAM 3R DI KILANG FUJI ELEKTRIK

AKTIVITI PEMANTAUAN AMALAN PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI KILANG FUJI ELEKTRIK, KULIM HI TECH

Satu aktiviti pemantauan berkaitan dengan amalan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah pengkomposan Takakura telah dijalankan di Kilang Fuji Elektrik, Kulim Hi Tech pada 30 Mei 2013. Aktiviti yang telah dijalankan oleh sebahagian warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim ini adalah merupakan aktiviti berjadual iaitu pada setiap bulan. Hal ini bagi memastikan amalan pengkomposan dijalankan secara berterusan oleh warga kilang terbabit. 






Berdasarkan pemerhatian oleh warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim, didapati fungi penapaian atau seed compost  telah berfungsi sepenuhnya sebagai pengurai sisa makanan yang terkandung di dalamnya. Walaubagaimanapun, fungi penapaian tersebut amat kering dan memerlukan gaulan yang kerap serta campuran segelas air paip pada setiap hari bagi memastikan kelembapannya dikekalkan. Hal ini kerana, mikroorganisma di dalam seed compost ini memerlukan sisa makanan, oksigen dan unsur air untuk terus hidup dalam menjalankan fungsinya.

27 Mei 2013

PROGRAM 3R DI KUALA KEDAH

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI KOMUNITI TAMAN KOTA NELAYAN, KUALA KEDAH

Pada 27 Mei 2013, satu aktiviti kutipan barangan kitar semula telah dijalankan di sekitar komuniti Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah yang dianjurkan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah. Aktivit yang turut disertai oleh pihak vendor berhampiran mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.




Hasil aktiviti ini mendapati hampir 100 kg barangan kitar semula yang berjaya diperoleh dan sejumlah RM53.82 telah diberikan kepada komuniti taman berkenaan.

PROGRAM 3R DI PEKAN LANGGAR

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI KOMUNITI PEKAN LANGGAR





Komuniti Pekan Langgar merupakan salah satu komuniti di sekitar Alor Setar yang menjalankan program 3R anjuran PPSPPA Kedah pada bulan Mei 2013. Program 3R yang dimaksudkan ialah aktiviti kutipan barangan kitar semula yang telah dijalankan pada 27 Mei 2013. Sebanyak 258 kg barangan kitar semula yang berjaya dikutip dan dijual kepada pihak vendor yang dilantik dan sejumlah RM149.88 hasil jualan barangan kitar semula tersebut telah diberikan kepada komuniti terbabit yang merupakan antara usahawan di pekan tersebut.

25 Mei 2013

PROGRAM 3R DI ASTANA PARK HOMES

AKTIVITI PAMERAN RAWATAN SISA MAKANAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DAN KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI ASTANA PARK HOMES, SUNGAI PETANI


Syarikat Perumahan Eupe, Sungai Petani telah menganjurkan satu aktiviti bertemakan 3R di Astana Park Homes bagi mempromosikan kempen kitar semula di tapak perumahan baru syarikat berkenaan pada 25 Mei 2013. Pihak PPSPPA Kedah dan syarikat vendor telah dijemput bagi menjayakan majlis berkenaan. Antara pengisian program ialah aktiviti pameran Rawatan Sisa Makanan Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura dan aktiviti kutipan barangan kitar semula daripada pengunjung program berkenaan. Setiap penghantaran 5 kg barangan kitar semula oleh pengunjung akan memperoleh sebatang anak pokok hiasan dan goodies daripada pihak syarikat Eupe dan pihak PPSPPA Kedah. Sebanyak 443 kg barangan kitar semula yang diperoleh sepanjang hari tersebut dan sejumlah RM 130.00 telah disampaikan kepada syarikat Eupe sebagai dana mereka.










Antara barangan kitar semula yang telah diperoleh daripada pengunjung ialah seperti kertas, botol plastik, tin aluminium, tin susu, besi, produk kaca dan kain-kain pakaian lama. Terima kasih diucapkan kepada warga kerja PPSPPA Cawangan Sungai Petani atas kerjasama yang telah diberikan untuk menjayakan program ini.

Selain aktiviti kutipan barangan kitar semula di komuniti tersebut, program 3R turut dijalankan pada hari yang sama di Bangunan Pejabat Syarikat Eupe di Bandar Sungai Petani. Dengan kerjasama pihak vendor yang dilantik, sebanyak 726.8 kg barangan kitar semula yang berjaya diperoleh sepanjang hari itu dan dijual. Hasilnya, sejumlah RM224 telah diberikan kepada pihak penganjur program berkenaan.





23 Mei 2013

PROGRAM 3R DI SK PEDU

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI SK PEDU








Program 3R tahun 2013 di SK Pedu ini merupakan program 3R pertama kali, buat warga sekolah tersebut. Aktiviti kutipan barangan kitar semula yang dianjurkan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah ini telah diadakan pada 23 Mei 2013 bersama-sama pihak vendor berhampiran. Kesedaran awam mengenai 3R di kalangan para pelajar adalah menggalakkan apabila mereka diwajibkan membawa barangan kitar semula secara individu.

Secara purata, sebanyak 900 kg lebih barangan kitar semula telah dikutip, diasingkan dan ditimbang oleh pihak vendor dan sejumlah RM300.00 lebih telah diberikan kepada guru penyelaras program untuk diagihkan kepada para pelajar yang menghantar barangan kitar semula mereka. Syabas diucapkan kepada mereka yang terlibat dalam menjaga kebersihan sekolah dan alam sekitar.

21 Mei 2013

PROGRAM 3R DI UITM MERBOK

AKTIVITI KEMPEN 3R, PAMERAN KITAR SEMULA DAN RAWATAN SISA MAKANAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI UiTM MERBOK, SUNGAI PETANI

Para pelajar UiTM Merbok, Sungai Petani telah mengadakan program pameran berkaitan dengan kempen 3R khususnya kitar semula di sekitar perkarangan kampus tersebut pada 21 Mei 2013. Antara pengisian program ini ialah seperti kempen pengasingan sisa dengan konsep 3R iaitu menggunakan tong kitar semula dan pameran berkaitan dengan rawatan sisa makanan menggunakan kaedah Pengkomposan Takakura. Program pameran ini juga dijayakan dengan kerjasama pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah serta Pejabat Cawangan PPSPPA Sungai Petani. 








20 Mei 2013

PROGRAM 3R DI HOTEL HOLIDAY VILLA

PROGRAM BENGKEL UNTUK PARA GURU BERKAITAN PENUBUHAN KELAB KITAR SEMULA/ALAM SEKITAR DI SEKOLAH-SEKOLAH DI HOTEL HOLIDAY VILLA

Pihak PPSPPA telah mengadakan satu bengkel kepada guru-guru sekolah mengenah dan rendah yang terpilih di sekitar negeri Kedah dan Perlis mengenai modul penubuhan Kelab Kitar Semula / Alam Sekitar yang dirancangkan pada tahun 2013. Bengkel yang dianjurkan oleh Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA ini bertempat di Hotel Holiday Villa, Alor Setar pada 20 hingga 22 Mei 2013 dan dihadiri seramai lebih kurang 40 orang guru yang terpilih daripada sekolah-sekolah di zon utara iaitu negeri Kedah dan Perlis. Bengkel ini juga telah dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, En Mohd Anuar dan wakil daripada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Cikgu Johari yang merupakan Guru Penolong Kanan SMK Agama Kedah. Selepas perasmian bengkel oleh Pengarah PPSPPA Kedah selaku tuan rumah, modul pengajaran tentang penubuhan Kelab Kitar Semula / Alam Sekitar ini telah dimulakan. 






Antara pengisian modul tersebut ialah penubuhan kelab, penerapan konsep 3R dalam aktiviti kelab, rawatan sisa makanan menggunakan kaedah pengkomposan Takakura, dan beberapa aktiviti luar yang boleh dijalankan oleh pihak sekolah. Insyaallah dengan penubuhan kelab ini akan meningkatkan kadar kitar semula  dan kebersihan alam sekitar di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

15 Mei 2013

PROGRAM 3R DI WISMA DARUL AMAN

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI WISMA DARUL AMAN

Pada 15 Mei 2013, satu aktiviti kutipan barangan kitar semula telah dijalankan di Wisma Darul Aman sempena aktiviti pembersihan kompleks pejabat kerajaan berkenaan sebelum sambutan Majlis Perasmian Pemantapan Urustadbir dan Sukan oleh YAB Dato' Paduka Mukhriz Bin Tun Mahathir pada keesookan harinya. Aktiviti yang dijalankan bersama-sama pihak vendor berhampiran mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penjawat-penjawat awam serta staf-staf sokongan dan syarikat pembersihan kompleks pejabat kerajaan tersebut.









Kepanasan cuaca pada hari tersebut dihangatkan lagi dengan riuh rendah kemeriahan warga Wisma Darul Aman yang sibuk menghantar barangan kitar semula. Hasilnya sebanyak 667 kg kertas cetakan hitam putih, 1360 kotak dan kertas terpakai, 68 kg botol-botol plastik, 1.5 kg tin-tin aluminium, dan 7 kg tin-tin susu telah dihantar oleh warga kompleks kerajaan tersebut dengan jumlah berat kesemua barangan kitar semula yang telah ditimbang adalah sebanyak 2.1 tan. Jumlah duit hasil jualan barangan kitar semula tersebut ialah sebanyak RM668.45 dan telah diagih-agihkan kepada mereka yang terlibat.