31 Disember 2012

PROGRAM 3R DI IBU PEJABAT

AKTIVITI PENJUALAN BARANGAN KITAR SEMULA OLEH STAF-STAF RESTORAN MAKANAN SEGERA SECRET RECIPE, CITY PLAZA DI IBU PEJABAT ALOR SETAR





Sepanjang bulan Disember 2012, pihak staf-staf Restoran Makanan Segera Secret Recipe, City Plaza Alor Setar telah mengumpul sebanyak 154 kg barangan kitar semula seperti kotak-kotak terpakai untuk dijual kepada pihak PPSPPA. Aktiviti penjualan barangan kitar semula tersebut yang berlangsung pada 31 Disember 2013 menghasilkan jualan sebanyak RM 60.00 lebih yang telah diberikan kepada staf-staf restoran tersebut.

30 Disember 2012

PROGRAM 3R DI WISMA DARUL AMAN

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI WISMA DARUL AMAN

Seperti biasa pada setiap bulan, pihak pengurusan Wisma Darul Aman telah menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula pada 30 Disember 2012. Sepanjang aktiviti tersebut, sebanyak 1.2 tan barangan kitar semula seperti kertas cetakan hitam putih, kotak-kotak, botol-botol plastik, tin aluminium dan banyak lagi telah diasingkan mengikut jenis dan ditimbang dengan bantuan vendor berhampiran. Hasilnya sejumlah RM400.00 lebih hasil jualan telah diberikan kepada para pekerja yang terlibat.







28 Disember 2012

PROGRAM 3R DI JALAN TELUK WAN JAH

AKTIVITI PROMOSI PPSPPA DI PERSATUAN PENDUDUK, JALAN TELUK WAN JAH







Persatuan Penduduk Jalan Teluk Wan Jah dengan kerjasama pihak MCA Alor Setar telah mengadakan satu aktiviti pameran kesedaran awam serta kesihatan kepada penduduk di kawasan tersebut pada 28 Disember 2012. Antara organisasi yang dijemput ialah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Kedah. Kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya oleh pihak PPSPPA untuk mempromosikan PPSPPA sendiri dan memberi info kepada orang awam berkenaan dengan talian aduan sisa serta memperkembangkan kempen kitar semula yang dianjurkan oleh PPSPPA.

26 Disember 2012

PROGRAM 3R DI SEKITAR ALOR SETAR

AKTIVITI PEMBERIAN KALENDAR PPSPPA 2013 DAN PENGUMPULAN ADUAN SISA DI SEKITAR ALOR SETAR





Pada 26 Disember 2012, warga kerja PPSPPA Alor Setar yang terdiri daripada Pn Nur Fizatul Akma Binti Kamaldeen, Cik Intan Diana Binti Abu Bakar serta En Mohd Azrul Bin Azmi daripada Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam telah menjalankan aktiviti memberikan kalendar PPSPPA tahun 2013 kepada penduduk sekitar Alor Setar. Antara taman-taman perumahan yang dilawati ialah Taman Wira, Taman Nuri dan Taman Utama, Alor Setar. Pengisian kunjungan kami disusuli dengan survey aduan sisa terhadap para penduduk setempat. 



24 Disember 2012

PROGRAM 3R DI TAMAN SERAMPANG 1, KUALA SUNGAI

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI KOMUNITI TAMAN SERAMPANG 1, KUALA SUNGAI






Selepas kali terakhir menjalankan aktiviti kitar semula di komuniti Taman Serampang 1, Kuala Sungai pada Julai dan Oktober 2012, kini pada 24 Disember 2012, komuniti berkenaan sekali lagi mengadakan program yang sama. Dengan kuantiti barangan kitar semula yang paling banyak dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti lalu, sebanyak 200 kg lebih telah berjaya diasingkan dan dijual kepada vendor yang terdekat. Hasil jualan barangan kitar semula tersebut adalah sebanyak RM115.00 lebih. Pengasingan besi, aluminium dan besi dijalankan dengan mengaplikasikan sentuhan magnet atau besi berani bagi mengenalpasti perbezaan antara barangan tersebut.

23 Disember 2012

PROGRAM 3R DI FLAT TAMAN SETIA JAYA

PERASMIAN TAMAN CONTOH DI KOMUNITI FLAT TAMAN SETIA JAYA DAN AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA

Komuniti Flat Taman Setia Jaya telah dipilih sebagai taman contoh PPSPPA Kedah di peringkat Bandaraya Alor Setar dan akan dibangunkan program Pengasingan Sisa Di Sumber serta kitar semula di sekitar lokasi berkenaan. Pada 23 Disember 2012, perasmian taman contoh ini disempurnakan oleh ADUN Cawangan Derga dan Menteri KPKT, Dato Chor Chee Heung. 




Oleh sebab itu, komuniti tersebut telah dipilih untuk menjalankan program 3R bermula bulan Disember 2012 dan menjadi sebahagian projek 3R di komuniti pada tahun 2013. Sebagai mukadimah program, pada 14, 22 dan 27 Disember 2012, program pengasingan sisa dan kutipan barangan kitar semula telah dijalankan secara Drive-Thru berkaunter oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah dengan dibantu oleh pihak vendor terdekat. Alhamdulillah, sambutan yang sangat menggalakkan telah diberikan kepada semua pengunjung kaunter berkenaan sehingga kutipan mencecah 2 tan lebih hanya untuk kutipan selama 3 hari pada bulan Disember. Hasilnya sejumlah RM 1000.00 lebih telah dibahagikan kepada setiap pengunjung yang hadir ke kaunter kami untuk menjual barangan kitar semula milik mereka.



PROGRAM 3R DI IBU PEJABAT ALOR SETAR

AKTIVITI KUTIPAN DAN PENJUALAN BARANGAN KITAR SEMULA DI IBU PEJABAT ALOR SETAR

Setelah beberapa minggu mengumpul barangan kitar semula, pada 23 Disember 2012, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Negeri Kedah telah menjalankan aktiviti mengasingkan dan menjual barangan kitar semula yang telah dikumpul di bahagian berkenaan kepada pihak vendor berhampiran. Hasilnya, sejumlah hampir RM170.00 telah diperoleh daripada sesi penjualan barangan kitar semula tersebut.




19 Disember 2012

PROGRAM 3R DI KEDAI SERBANEKA 7 ELEVEN

PROGRAM 3R DI KEDAI SERBANEKA 7 ELEVEN, JALAN TUNKU IBRAHIM, ALOR SETAR







Kedai serbaneka 7 Eleven, Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar turut menjalankan program 3R bersama-sama dengan pihak PPSPPA Negeri Kedah untuk mengurangkan penjanaan sampah pada bulan Disember 2012 ini. Pada 19 dan 30 Disember 2012, staf-staf kedai serbaneka berkenaan telah menjalankan program pengasingan sisa dan penjualan barangan kitar semula dengan bantuan pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Negeri Kedah serta vendor berhampiran untuk membersihkan kedai tersebut. Hasilnya, sebanyak hampir 160 kg barangan kitar semula yang berjaya dijual bersamaan dengan RM 40.00 lebih telah diberikan kepada mereka.