11 Disember 2012

HAIWAN PELIHARAAN SAYA COMPOST CHANG!

AKTIVITI PEMANTAUAN DAN PEMBERIAN SISA MAKANAN KEPADA COMPOST CHANG 

Compost Chang merupakan inovasi daripada Negara Jepun yang diperkenalkan oleh pihak PPSPPA kepada rakyat Malaysia untuk menyelamatkan sisa makanan di rumah daripada dijadikan sampah. Sisa makanan ini sebenarnya berguna untuk dijadikan medium bagi menghasilkan baja organik atau dikenali sebagai baja kompos yang bertindak menyuburkan tanah dan menggalakkan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan seperti pokok-pokok bunga dan pokok buah-buahan. Oleh yang demikian, untuk memberi kesedaran awam kepada semua warga kerja PPSPPA Negeri Kedah dan orang awam untuk mengurangkan sisa makanan daripada menjadi sampah, pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam telah menghasilkan lebih kurang 3 bakul compost chang untuk dijadikan medium untuk menguraikan sisa makanan di Ibu Pejabat Alor Setar supaya menjadi baja organik. 





Compost Chang ini yang diperbuat daripada campuran 2 cecair penapaian dan nisbah 2kg tanah dan 1 kg sekam padi telah dihasilkan dalam masa 2 hingga 3 minggu secara peraman di dalam suhu bilik. Dan selepas itu, warga kerja PPSPPA Negeri Kedah memberikan kerjasama menyumbangkan sisa makanan milik mereka untuk disemaikan dalam compost chang ini pada setiap 2 hari. Semakin lama hari berlalu, pada operasi pemantauan 11 Disember 2012, permukaan atas compost chang ini diselaputi dengan lapisan warna keputihan yang merupakan bakteria yang berperanan menguraikan sisa makanan yang disemai pada setiap 2 hari. Selang sehari, segala isi kandungan compost chang digaul untuk menyeratakan sisa makanan di keseluruhan medium compost chang berkenaan. Insyaallah, apabila compost chang ini penuh, segala isi compost chang ini akan dijadikan baja organik untuk lanskap dan kesuburan tanah. Syabas diucapkan kepada semua warga kerja yang terlibat kerana berjaya menghasilkan compost chang ini dan berjaya mengurangkan sisa makanan daripada dijadikan sampah dan dibuang ke tapak pelupusan. Terima kasih!


Tiada ulasan: