31 Mac 2013

PROGRAM 3R DI KILANG FUJI ELEKTRIK, KULIM

AKTIVITI PEMANTAUAN PENJAGAAN COMPOST CHANG DI KILANG FUJI ELEKTRIK, KULIM

Pada 31 Mac 2013, satu aktiviti pemantauan penjagaan set Compost Chang telah dijalankan oleh warga kerja PPSPPA Cawangan Kulim di komuniti Kilang Fuji Elektrik untuk meninjau pengamalan pengurangan sisa makanan dengan menggunakan rawatan sisa organik kaedah Takakura oleh komuniti kilang berkenaan. Hasil tinjauan warga kerja mendapati banyak mikroorganisma yang terdapat di permukaan set kompos berkenaan dan pemerhatian direkodkan. Hal ini berikutan dengan kemunculan lapisan atau tompokkan berwarna putih yang menyamai gabus di atas permukaan seed compost di dalam bakul. Warga kerja PPSPPA Kulim juga melaporkan bahawa hanya segelintir kecil komuniti di dalam kilang tersebut yang menjaga set Compost Chang dengan baik dan beberapa pekerja kilang dan pengawal keselamatan sahaja yang mengamalkan gaya hidup mengurangkan sisa makanan dengan memasukkan sisa-sisa makanan tersebut ke dalam set Compost Chang tersebut. Walaubagaimanapun, komuniti kilang ini telah diberi nasihat dan pandangan oleh PPSPPA bagi menggunakan kaedah pengkomposan ini untuk mengurangkan sisa makanan yang dijana di dalam komuniti berkenaan.





PROGRAM 3R DI PASARAYA GIANT HYPERMARKET, SUNGAI PETANI

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA MELALUI DRIVE-THRU DI PASARAYA GIANT HYPERMARKET, SUNGAI PETANI

Buat pertama kalinya pada tahun ini, pihak pengurusan PPSPPA Cawangan Sungai Petani dan Pasaraya Giant Hypermarket telah menjalankan program 3R iaitu aktiviti kutipan barangan kitar semula melalui Drive-Thru pada 31 Mac 2013. Aktiviti kali ini yang akan dijalankan pada setiap bulan bertempat di lobi pasaraya berkenaan dan dibantu oleh syarikat vendor berhampiran.






Sebanyak 24.9 kg barangan kitar semula yang berjaya diperoleh dan hasil jualan sejumlah lebih kurang RM 5.00 telah diagih-agihkan kepada pihak pengunjung yang menyerahkan barangan kitar semula milik mereka kepada kaunter Drive-Thru PPSPPA.

PROGRAM 3R DI LANGKAWI

PROGRAM 3R DI LANGKAWI SEMPENA LIMA !!!

Sempena sambutan Langakawi International Maritime Aerobatic (LIMA) di Langkawi, Kedah, satu program 3R besar-besaran telah dijalankan oleh PPSPPA pada 26 hingga 31 Mac 2013 untuk memastikan kesedaran awam serta kebersihan pulau berkenaan dipertingkatkan. Antara aktiviti-aktiviti 3R yang dijalankan ialah:

Peletakkan tong-tong kitar semula di lokasi-lokasi sekitar pulau.








 Memberi rujukan kepada pengunjung pulau tentang pengasingan sisa.

 



   
Mempromosikan PPSPPA dan kempen 3R yang diperjuangkan PPSPPA.






Promosi Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2013


 






Pameran PPSPPA, kempen 3R dan rawatan sisa organik menggunakan kaedah pengkomposan Takakura.


 




Antara masalah yang dihadapi semasa menjalankan kempen 3R di Langkawi ini ialah seperti berikut:

1) Kekurangan kakitangan daripada syarikat Environment Idaman dalam membantu program kitar semula di karnival ini sedikit sebanyak mengganggu usaha untuk mendidik pengunjung dalam mengasingkan sisa dan menggunakan tong kitar semula dengan betul.

2) Skuad khas daripada PPSPPA dan Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd bagi program kitar semula perlu diwujudkan bagi memberi fokus kepada program-program kitar semula pada masa akan datang dan skuad ini terdiri daripada orang-orang yang mampu mengajar orang awam untuk mengasingkan sisa dan menggunakan tong yang betul kerana pada peringkat awal mendidik masyarakat tentang tong kitar semula, setiap lokasi yang diletakkan tong kitar semula perlu ada person in charge yang akan membimbing pengunjung semasa menggunakan tong kitar semula.

3) Pihak konsesi perlu menyediakan lebih banyak tong kitar semula mengikut warna di merata tempat tumpuan ramai terutama semasa berlangsung program-program besar yang mendapat kunjungan ramai.

4) Bagi Program 3R, pihak PPSPPA tidak mendapat kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya oleh syarikat konsesi dalam menjayakan program ini. Selain daripada itu, hasil barangan kitar semula yang terkumpul tidak dipungut oleh syarikat konsesi dan menyebabkan pihak PPSPPA memungut barangan kitar semula sendiri.

28 Mac 2013

PROGRAM 3R DI FLAT TAMAN SETIA JAYA

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI FLAT TAMAN SETIA JAYA







Seperti biasa pada setiap minggu, aktiviti kutipan barangan kitar semula di Flat Taman Setia Jaya akan dijalankan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah. Kali ini, pada 28 Mac 2013, sebanyak 464.9 kg barangan kitar semula telah dikumpul, diasing, dikutip dan ditimbang oleh pihak vendor berhampiran. Hasilnya, sejumlah RM 242.35 wang tunai telah diagih-agihkan kepada para penduduk flat berkenaan. Setakat ini, komuniti rumah pangsa tersebut merupakan komuniti yang mencatatkan kutipan barangan kitar semula tertinggi dalam daerah Alor Setar.

26 Mac 2013

PROGRAM 3R DI STADIUM DARUL AMAN

AKTIVITI PAMERAN KEMPEN KITAR SEMULA DAN RAWATAN SISA ORGANIK MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI STADIUM DARUL AMAN



Pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Karnival Bandaraya Sejahtera pada 26-28 Mac 2013 yang bertempat di perkarangan Stadium Darul Aman dan telah menjemput pihak PPSPPA Kedah untuk turut serta dalam pameran mengenai Kempen Kitar Semula dan Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Aktiviti pameran berkenaan dijalankan secara kecil-kecilan memandangkan sebahagian bahan pameran telah dipamerkan di Langkawi sempena program LIMA 2013.