17 Mac 2013

PROGRAM 3R DI KG SG TENGAS, KULIM

AKTIVITI PAMERAN, KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DAN TAKLIMAT RAWATAN SISA ORGANIK MENGGUNAKAN KAEDAH PENGKOMPOSAN TAKAKURA DI KG SG TENGAS, KULIM





Pihak warga kerja Pejabat Cawangan PPSPPA Kulim dengan kerjasama Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Kedah telah menjalankan program 3R di komuniti Kampung Sungai Tengas, Kulim pada 17 Mac 2013. Antara pengisian program ialah pameran berkenaan PPSPPA serta kempen 3R, aktiviti kutipan barangan kitar semula dan taklimat ringkas mengenai Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Aktiviti yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung yang kebanyakan penduduk Kampung Sungai Tengas. Tambahan pula, majlis ini turut dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim. 


Program 3R ini dimeriahkan dengan aktiviti kutipan barangan kitar semula yang bermotifkan aktiviti amal, yang mana komuniti kampung tersebut digalakkan menghantar barangan kitar semula ke kaunter PPSPPA dan penjualan barangan kitar semula tersebut yang diuruskan oleh Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd akan disumbangkan kepada pihak masjid kampung berkenaan. Kutipan barangan kitar semula pada hari itu sahaja telah mencapai  sebanyak 237 kg bersamaan dengan hampir RM87.50 telah disumbangkan kepada pihak masjid kampung tersebut. Aktiviti ini juga akan diadakan pada setiap bulan untuk memastikan amalan kitar semula dipraktikkan oleh penduduk kampung tersebut.








Selain itu, program 3R yang dijalankan turut diselitkan lagi dengan aktiviti ceramah ringkas mengenai Rawatan Sisa Organik Menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura daripada Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA. Kaedah Pengkomposan Takakura ini disampaikan kepada penduduk kampung tersebut bagi memastikan sisa organik seperti saki baki makanan di rumah tidak dibuang begitu saja dan lebih baik jika dijadikan sebagai baja organik atau baja kompos. 




Sehubungan itu, satu set Compost Chang yang telah disediakan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA diberikan secara percuma kepada wakil persatuan penduduk kampung serta wakil Majlis Perbandaran Kulim untuk dipraktikkan. Pihak warga kerja Pejabat Cawangan PPSPPA Kulim akan memantau perkembangan amalan kompos di kedua-dua komuniti ini pada setiap bulan dan memberi sedikit nasihat berguna untuk menggunakan set Compost Chang.


Tiada ulasan: