21 September 2012

PROGRAM 3R DI MASJID AMAN, ALOR SETAR

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI KOPERASI MASJID AMAN, ALOR SETAR






Walaupun pada hari cuti, ini tidak mematahkan semangat warga kerja Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Negeri Kedah untuk menjayakan program 3R di Masjid Aman, Alor Setar pada 21 September 2012. Kutipan barangan kitar semula yang dijalankan dibantu oleh warga masjid dan penduduk berhampiran. Sebanyak 75 kg barangan kitar semula iaitu sejumlah lebih RM 20.00 telah disumbangkan kepada pihak koperasi masjid berkenaan. Sedarlah kepada pembaca-pembaca sekalian, bahawa aktiviti ini juga boleh menjana pendapatan untuk kita dermakan kepada pihak koperasi masjid, orang-orang susah dan pihak-pihak yang memerlukan.

20 September 2012

PROGRAM 3R DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA, SINTOK, KEDAH

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA, SINTOK, KEDAH

Selepas program 3R lalu pada 26 Jun 2012, kini pihak PPSPPA Negeri Kedah dibantu oleh pihak vendor berkunjung semula ke Universiti Utara Malaysia untuk menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula. Kali ini, program 3R tersebut telah dipohon oleh salah seorang pensyarah di fakulti perniagaan atau COB yang berminat dengan program anjuran pihak PPSPPA berkenaan. Oleh yang demikian, selepas aktiviti kutipan di Taman Teja Changlun, pihak kami bergegas ke UUM untuk menjalankan program berkaitan. Sebanyak lebih kurang 300 kg barangan kitar semula yang diperoleh di UUM pada hari tersebut dan sejumlah RM 240.00 lebih telah diberikan kepada komuniti UUM yang terlibat.





PROGRAM 3R DI KOMUNITI TAMAN TEJA CHANGLUN, KEDAH

AKTIVITI KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI KOMUNITI TAMAN TEJA, CHANGLUN, KEDAH

Selepas program 3R di Tabika Perpaduan Taman Changlun, pihak PPSPPA Negeri Kedah berkunjung pula ke Taman Teja, Changlun Kedah untuk menjalankan program 3R. Antara aktiviti yang dijalankan di sana ialah aktiviti kutipan barangan kitar semula dari rumah ke rumah yang dirancangkan oleh pihak PPSPPA Kedah dan juga pensyarah daripada Universiti Utara Malaysia. Aktiviti kutipan berkaitan dibantu oleh pihak vendor berhampiran.








Sebanyak lebih kurang 360 kg barangan kitar semula yang berjaya dikutip di komuniti taman tersebut bersamaan dengan RM 160.00 lebih. Pelbagai barangan kitar semula yang dikutip oleh pihak vendor termasuklah surat khabar, besi pagar, botol-botol plastik dan kertas putih. Segala maklumat kutipan pada hari tersebut akan digunakan sebagai data kajian kitar semula di kalangan masyarakat umum yang akan diguanakan oleh pensyarah UUM, Pn Wahida dalam tesis beliau. Insyaallah, aktiviti ini akan dijalankan sekali lagi pada masa yang akan datang.

PROGRAM 3R DI TABIKA PERPADUAN TAMAN CHANGLUN

AKTIVITI CERAMAH BANK KITAR SEMULA DI TABIKA PERPADUAN TAMAN CHANGLUN, KEDAH

Dengan bantuan dan kerjasama daripada pihak Pejabat Perpaduan Daerah Kubang Pasu, pihak PPSPPA Negeri Kedah mengunjungi Tabika Perpaduan Taman Changlun, Kedah pada 20 September 2012. Kunjungan pihak PPSPPA yang diwakili oleh En Mohd Azrul Bin Azmi selaku Pegawai Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam disambut baik oleh para guru dan murid-murid sekolah tabika berkenaan seterusnya pihak ibu bapa murid (waris). Antara pengisian program 3R pada hari tersebut ialah penyampaian ceramah mengenai Program Bank Kitar Semula di tabika berkenaan dan para guru dan waris bersetuju untuk menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula yang pertama pada 30 Oktober 2012 nanti.





19 September 2012

PROGRAM 3R DI 7 ELEVEN DAN RESTORAN McD CITY PLAZA

AKTIVITI PENJUALAN BARANGAN KITAR SEMULA OLEH STAF-STAF RESTORAN MAKANAN SEGERA McD CITY PLAZA DAN KEDAI SERBAGUNA 7 ELEVEN JALAN TUNKU IBRAHIM




Seperti biasa, staf-staf restoran makanan segera McD, Kompleks Membeli-belah City Plaza telah berkunjung ke Ibu Pejabat PPSPPA Negeri Kedah untuk menjual barangan kitar semula milik mereka pada 19 September 2012. Antara warga kerja PPSPPA yang terlibat ialah En Mohd Azrul Bin Azmi dan Cik Intan Diana Bt. Abu Bakar. Sebanyak 100 kg lebih barangan kitar semula yang berjaya dikutip dan sejumlah RM 30.00 lebih telah diberikan kepada En Fazli, selaku pengurus restoran berkenaan. Pada sebelah petangnya, pihak staf kedai serbaguna 7 Eleven, Jalan Tunku Ibrahim pula menelefon pihak kami untuk membuat penjualan barangan kitar semula milik mereka.





Sebanyak 60 kg lebih bersamaan dengan RM 25.00 lebih barangan kitar semula yang berjaya dikutip sepanjang program 3R tersebut. Terima kasih diucapkan.

PROGRAM 3R DI TABIKA PERPADUAN TAMAN SERA, PADANG SERA

AKTIVITI CERAMAH BANK KITAR SEMULA DAN KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI TABIKA PERPADUAN TAMAN SERA, PADANG SERA

Tabika Perpaduan Taman Sera, Padang Sera merupakan antara tabika di bawah Pejabat Perpaduan Kubang Pasu yang menjalankan program Bank Kitar Semula anjuran pihak PPSPPA Negeri Kedah. Pada 19 September 2012, satu ceramah berkenaan program tersebut telah disampaikan oleh En Mohd Azrul Bin Azmi selaku Pegawai Kitar Semula dan Kesedaran Awam PPSPPA Negeri Kedah kepada semua waris dan anak-anak murid di sekolah tabika tersebut.







Sebanyak 30 buah beg dan belon telah diberikan kepada murid-murid sepanjang ceramah disampaikan oleh beliau. Hal ini bagi meningkatkan semangat dan keseronokkan generasi muda untuk mempraktikkan amalan kitar semula. Setelah selesai ceramah, pihak PPSPPA dengan bantuan warga kerja daripada Pejabat Cawangan PPSPPA Kubang Pasu iaitu Pn Winita Suwanmani A/P Them dan Cik Nur Rosanah Binti Md Kafli, aktiviti kutipan barangan kitar semula telah dijalankan.





Sebanyak 100 kg lebih barangan kitar semula yang berjaya dikutip bersamaan dengan RM 50.00 lebih telah diberikan kepada guru penyelaras program untuk diberikan kepada murid-murid berkenaan untuk tujuan menabung. Insyaallah, pihak kami akan berkunjung lagi ke tabika berkenaan untuk memastikan aktiviti 3R ini dijalankan secara berterusan.

18 September 2012

PROGRAM SEDETIK HABITAT 1 MALAYSIA 2012 DI SEKOLAH-SEKOLAH NEGERI KEDAH

PROGRAM SEDETIK HABITAT 1 MALAYSIA 2012 DAN PROGRAM BANK KITAR SEMULA DI SEKOLAH-SEKOLAH NEGERI KEDAH 

Setelah ditangguhkan berulang-ulang kali sejak tahun yang lepas, akhirnya Program Sedetik Habitat 1 Malaysia 2012 yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records dilaksanakan dengan jayanya pada tanggal 18 September 2012. Dengan penglibatan lebih kurang 46 buah sekolah di Malaysia, program ini dijalankan dengan meriah sempena sambutan Hari Habitat Sedunia yang akan disambut di Putrajaya nanti. Program yang dianjurkan bersama oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga pihak PPSPPA, bertemakan program Bank Kitar Semula Di Sekolah sempena penglibatan yang aktif sekolah-sekolah di Malaysia khususnya di Negeri Kedah dalam kempen kitar semula berkenaan sepanjang 2 tahun. Antara sekolah-sekolah bertuah di Negeri Kedah yang dipilih ekoran daripada penglibatan yang aktif dalam program tersebut ialah SMK Seri Ampang, Kuala Kedah, SMK Langgar, Langgar, SMK Agama Kedah, Alor Setar, SK Putat, Kodiang, dan SJK (C) Lam Min, Kerpan. Antara agenda program Sedetik Habitat 1 Malaysia ini adalah dengan menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula secara besar-besaran serentak di kelima-lima lokasi berkaitan. Penyertaan murid dan warga sekolah dalam program berkenaan akan dirakamkan dan direkodkan oleh urusetia yang terlibat dalam sistem berkomputer yang perlu diemelkan secara online ke Ibu Pejabat PPSPPA, Kuala Lumpur pada hari yang sama. Program berkenaan juga dirasmikan dengan pembacaan ikrar oleh ketua murid daripada setiap sekolah. Aktiviti kutipan barangan kitar semula pula akan dimulakan selepas pembacaan ikrar tamat dan durasi aktiviti tersebut adalah selama 8 jam iaitu daripada pukul 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.

AKTIVITI DI SMK SERI AMPANG, KUALA KEDAH

(Kutipan sebanyak hampir 500 kg bersamaan dengan RM 160.00 lebih!!! )













AKTIVITI DI SMK LANGGAR, LANGGAR

(Kutipan sebanyak lebih kurang 5000 kg bersamaan dengan RM 1900.00 lebih!!! )














AKTIVITI DI SMK AGAMA KEDAH, ALOR SETAR

(Kutipan sebanyak lebih 1300 kg bersamaan dengan RM 500.00 lebih!!! )














AKTIVITI DI SK PUTAT, KODIANG

(Kutipan sebanyak lebih 200 kg bersamaan dengan RM 40.00 lebih!!! )












AKTIVITI DI SJK (C) LAM MIN, KERPAN

(Kutipan sebanyak lebih 220 kg bersamaan dengan RM 80.00 lebih!!! )














Jumlah keseluruhan kutipan di kelima-lima buah sekolah dalam program ini ialah sebanyak 7.5 tan iaitu lebih 7500 kg bersamaan dengan RM 2700.00 lebih telah diberikan kepada warga sekolah yang terlibat. Pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat PPSPPA Negeri Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuklah pihak pengurusan sekolah, murid-murid, urusetia-urusetia dan lain-lain yang membantu menjayakan program Sedetik Habitat 1 Malaysia dan Program Bank Kitar Semula ini serta menyokong kempen kitar semula oleh pihak PPSPPA. Diharap program ini dapat menyedarkan semua pihak akan kepentingan amalan 3R dan kitar semula khususnya untuk membersihkan alam sekitar dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan kita.