10 September 2012

PROGRAM 3R DI TABIKA PERPADUAN TAMAN RASA SAYANG, JITRA

AKTIVITI CERAMAH BANK KITAR SEMULA DAN KUTIPAN BARANGAN KITAR SEMULA DI TABIKA PERPADUAN TAMAN RASA SAYANG, JITRA

Selepas persetujuan daripada pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Kedah semasa mesyuarat yang dianjurkan oleh pihak pengurusan tabika-tabika Perpaduan di seluruh Jitra (Kubang Pasu) dan pihak pengurusan Pejabat Perpaduan Jitra pada 6 Ogos 2012, satu program 3R iaitu ceramah Bank Kitar Semula dan aktiviti kutipan barangan kitar semula secara menyeluruh akan diadakan di 10 buah sekolah tabika Perpaduan di seluruh Jitra mulai 10 hingga 24 September 2012. Oleh yang demikian, sekolah tabika Perpaduan pertama yang mula menyertai kempen tersebut ialah Sekolah Tabika Perpaduan Taman Rasa Sayang, Jitra pada 10 September 2012. 








Tujuan kempen ini diadakan adalah susulan daripada minat dan kesedaran terhadap amalan 3R dan kitar semula di kalangan warga kerja Pejabat Perpaduan dan kesepakatan guru-guru tabika Perpaduan di kawasan tersebut. Di sekolah Tabika Perpaduan Taman Rasa Sayang, sesi ceramah Bank Kitar Semula dihadiri oleh pihak guru, murid dan ibu bapa (waris) yang sanggup meluangkan masa untuk memberi sokongan pada kempen yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA ini. Ceramah ringkas yang diberikan oleh En Mohd Azrul  Bin Azmi disusuli selepas ucapan pembukaan dan alu-aluan daripada En Ashraf daripada Pejabat Perpaduan Jitra. Segala pendedahan mengenai program Bank Kitar Semula diberikan kepada para tetamu dan diharap sambutan yang menggalakan bukan sahaja daripada warga tabika, malah keseluruhan komuniti Taman Rasa Sayang. Antara wakil pihak PPSPPA Cawangan Kubang Pasu ialah Pn Banian Binti Zulkifli.




Selepas ceramah diberikan, tibalah masanya aktiviti kutipan barangan kitar semula dijalankan memandangkan murid-murid dan ibu bapa mereka (waris) membawa barangan kitar semula daripada rumah mereka. Pihak guru tabika juga tidak ketinggalan menyumbangkan barangan kitar semula di tabika yang tidak digunakan lagi hasil daripada bencana banjir yang menimpa mereka dahulu. Alhamdulillah, sambutan yang baik diberikan oleh mereka sehingga hampir 90 kg barangan kitar semula berjaya dikumpul. Hasilnya, sebanyak RM 30.00 lebih diberikan kepada pihak murid, ibu bapa dan guru yang telah menyumbangkan barangan kitar semula milik mereka. Kami sama-sama berharap agar aktiviti ini dapat diteruskan pada bulan hadapan untuk menyokong kempen ini bukan untuk memperoleh wang tunai tetapi untuk membersihkan alam sekitar daripada sisa pepejal yang terdiri daripada barangan kitar semula ini. 

Tiada ulasan: