25 November 2012

PROGRAM 3R DI DEWAN DATO SYED OMAR, ALOR SETAR

BERSUKAN SAMBIL MENGITAR SEMULA

Sebagai menyokong amalan 3R di kalangan warga kerja PPSPPA Negeri Kedah, satu pertandingan Badminton telah diadakan pada 25 November 2012 yang dinamakan sebagai Kejohanan Badminton Piala Pusingan Pegawai 3R Negeri Kedah. Acara tersebut buat pertama kalinya diadakan secara peringkat dalaman dan dikhaskan untuk warga kerja dalaman PPSPPA Negeri Kedah sahaja, mendapat sambutan yang positif di kalangan mereka. Kejohanan ini yang dianjurkan oleh Pegawai 3R Negeri Kedah, En Mohd Azrul Bin Azmi diadakan secara kecil-kecilan dengan tujuan memberi pendedahan kepada para peserta untuk mengamalkan kitar semula botol-botol plastik yang digunakan sebagai minuman selepas bersukan. Aktiviti ini juga turut disertai oleh warga kerja daripada setiap pejabat cawangan PPSPPA Negeri Kedah iaitu pejabat cawangan Kubang Pasu, Guar Chempedak, dan Alor Setar sebagai mewakili zon PPSPPA Kedah Utara manakala pejabat cawangan Sik, Sungai Petani, dan Kulim mewakili zon PPSPPA Kedah Selatan. Acara yang dipertandingkan ialah perlawanan badminton beregu lelaki antara PPSPPA Kedah Zon Utara melawan Zon Selatan. Sebagai salah satu program 3R yang dianjurkan, aktiviti yang bertempat di Dewan Dato' Syed Omar, Alor Setar ini merupakan antara gelanggang terbaik di zon utara. Antara hadiah yang dipertandingkan ialah sebuah trofi atau piala pusingan.


















Alhamdulillah, PPSPPA Kedah Zon Utara telah memenangi perlawanan berkenaan dengan agregat 5-2. Insyaallah, perlawanan pusingan ke-2 akan diadakan pada akhir bulan Februari 2013. Dengan pelaksanaan aktiviti sukan ini, bukan saja mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga kerja PPSPPA Kedah, malah meningkatkan amalan kitar semula di kalangan mereka. Terima kasih diucapkan kepada semua warga kerja yang sudi hadir dari jauh untuk menyokong kempen ini dan memberikan komitmen penuh dalam acara sukan badminton. Semoga aktiviti ini dijalankan secara berterusan dan boleh dijadikan pencetus semangat dan persediaan menghadapi Karnival Sukan di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.




Tiada ulasan: