2 April 2013

LAWATAN PIHAK JICA KE PROGRAM 3R NEGERI KEDAH

AKTIVITI LAWATAN DARIPADA PIHAK JICA KE PROGRAM 3R NEGERI KEDAH


Pada 2 April 2013, pihak PPSPPA Negeri Kedah telah menerima satu lawatan daripada pihak Japan International Corporation Agency (JICA) dari Negara Jepun yang diwakili oleh Mr Ueda Hiroyuki. Objektif utama kunjungan beliau adalah untuk melihat perancangan dan perkembangan program 3R yang dianjurkan oleh pihak PPSPPA Kedah sempena projek penempatan sementara seorang sukarelawan daripada pihak JICA ke negeri Kedah yang akan dijalankan pada tahun depan. Beliau yang merupakan seorang koordinator daripada bahagian Sukarelawan, JICA akan memberikan pandangan dan cadangan untuk menjayakan program penempatan sementara sukarelawan ini.

Selepas memperkenalkan diri dan memberi penerangan ringkas mengenai program penempatan sementara sukarelawan JICA pada tahun depan, Mr Ueda pula diberi penerangan mengenai perancangan program 3R oleh Pengarah PPSPPA Kedah. Selepas sesi perbincangan di Ibu Pejabat PPSPPA Kedah berakhir, Mr Ueda yang diiringi oleh En Mohd Azrul Bin Azmi, selaku Pegawai 3R, Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah memulakan lawatan ke beberapa buah komuniti yang telah menyertai program 3R bersama-sama PPSPPA Kedah.









Lawatan ini bermula di Tabika Bestari Al-Umairah di Taman Mahkota, Alor Setar yang menjalankan aktiviti kutipan barangan kitar semula pada hari yang sama. Dengan bantuan vendor berhampiran, sebanyak 13.7 kg barangan kitar semula telah berjaya dikutip, diasingkan dan ditimbang. Hasil jualan barangan kitar semula tersebut telah diberikan kepada murid-murid yang telah menghantar barangan kitar semula dan rekod penjualan barangan kitar semula tersebut telah dicatatkan dalam Buku Bank Kitar Semula yang telah disediakan oleh pihak Bahagian Kitar Semula dan Kesedaran Awam, PPSPPA Kedah.





Selepas mengadakan program 3R di Tabika Bestari Al-Umairah, lawatan tersebut diteruskan ke komuniti Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar untuk melihat tapak program 3R dijalankan sahaja memandangkan program 3R di situ adalah hanya dijalankan pada setiap hari Khamis pada setiap minggu. Oleh yang demikian, pihak PPSPPA Kedah membawa Mr Ueda ke SMK Agama Kedah untuk melihat perkembangan aktiviti Rawatan Sisa Makanan menggunakan Kaedah Pengkomposan Takakura. Warga SMK Agama Kedah telah menyambut kedatangan Mr Ueda dengan penuh meriah yang mana satu sesi pembentangan tentang program lestari sekolah telah diberikan oleh pihak guru dan para pelajar. 






Sesi pembentangan ini diakhiri dengan sesi pemantauan Compost Chang yang telah disediakan oleh pelajar sekolah berkenaan sendiri. 4 set Compost Chang ini mula disediakan oleh para pelajar SMK Agama Kedah pada tahun ini setelah dipelajari daripada ceramah dan demonstrasi pembuatan teknik rawatan sisa makanan oleh pihak PPSPPA. Mr Ueda teruja dengan hasil pembuatan pelajar-pelajar ini yang dipimpin oleh guru Kelab Alam Sekitar, Cikgu Zakirah. Antara perancangan para pelajar sekolah berkenaan ialah menghasilkan lebih 50 buah set Compost Chang lagi untuk 50 orang pelajar bagi menyemai semangat cintakan alam sekitar di kalangan mereka. Teknik Rawatan Sisa Makanan berskala besar ini adalah satu impian Pengetua sekolah berkenaan.








Kami daripada pihak PPSPPA Kedah berharap dengan kunjungan serta cadangan Mr Ueda ini akan menyebabkan program penempatan sementara sukarelawan JICA di negeri Kedah pada tahun hadapan tercapai. Moga-moga program ini akan menambahbaik dan memantapkan lagi program 3R sedia ada yang diperjuangkan oleh pihak PPSPPA.

Tiada ulasan: